Warkah Guru Besar

Julai 06, 2021


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada kepada semua Warga Pendidik dan Staf Sokongan     



       Kata-kata aluan
Pn. Sabariah Bt Sapari
Guru Besar SK Jalan Selangor (Satu),Petaling Jaya

Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2017 dapat disiapkan sebelum sesi persekolahan bermula. Semoga kita semua diberi oleh-Nya kekuatan untuk melaksanakan setiap apa yang dirancang dengan jayanya.
Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2017 ini adalah sebagai garis panduan dan rujukan utama bagi semua guru dan warga SK Jalan Selangor (Satu). Justeru itu, saya berharap perancangan ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru dan staf sokongan agar dapat meningkatkan lagi integriti dan akauntabiliti dalam pengurusan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum sepanjang tahun ini. Semoga ia akan dapat membantu dan memudahkan semua pihak dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah menggariskan panduan untuk semua pendidik dan warga sekolah bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan bagi mencapai hasrat mentransformasikan Pendidikan Negara kearah Pendidikan Bertaraf Dunia. Ini adalah cabaran yang amat besar buat kita semua bagi merealisasikannya. Insyaallah, berkat kegigihan dan ketabahan, kita akan cuba capai bersama Visi dan Misi baru Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera merupakan Visi dan Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara adalah Misi baru yang bermula pada tahun 2016 ini.
Marilah kita sama-sama mendokong cita-cita murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ini yang menggariskan 5 Aspirasi Sistem, 6 Aspirasi Murid, 9 Keberhasilan Utama, 11 Anjakan Utama dalam 3 Gelombang yang bermula 2013 hingga 2025.
Akhir kata, ingin saya mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Perancangan Pengurusan dan Takwim Sesi Persekolahan 2017 atas usaha gigih dan komitmen yang begitu tinggi dalam memastikan perancangan ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Segala perancangan serta kesungguhan dan keiltizaman kita dalam menzahirkan sesuatu yang baik hendaklah diserapkan sebagai satu budaya organisasi yang mampan agar kejayaan yang hendak dicapai menjadi teras yang akan mencetuskan penjenamaan dan membentuk organisasi yang bermakna…..

Sekian. Terima Kasih.

Komited, Yakin, Inovasi.
SABARIAH BINTI SAPARI




Guru Besar
 SK Jalan Selangor (Satu), Petaling Jaya




Share this

SK Jalan Selangor (Satu) merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak di Petaling Jaya dalam Daerah Petaling Utama dan merupakan sekolah satu sesi.

Related Posts

Previous
Next Post »